Wednesday 17 September 2014

Daun Pelangi



Terik pagi. Suria muncul. Embun makin kering. Razak terpaku kemas di atas kerusi malasnya. Razak berangan dan kadangkala tergelak kecil. Mungkin berasa geli hati dengan masa lampaunya. Mungkin teringat jenaka yang dia tonton di kaca televisyen malam tadi. Mungkin sahaja.

Razak tersentak. Dia teringat sesuatu yang harus diselesaikan hari itu juga. Razak bingkas bangun dari kerusi malasnya dan terus meluru masuk ke dalam bilik tidurnya. Katilnya masih berselerak, tidak berubah sejak dia bangun tidur. Razak capai seluar jean lusuhnya yang disangkutkan pada sebatang paku yang tercacak di dinding. Disarung seluarnya itu.

Razak menoleh kiri dan kanan seperti mencari sesuatu. Di atas sebuah bangku yang terletak di sudut bilik, ada sebuah kotak bersaiz segi empat tepat. Dibalut dengan kain yang berwarna kuning dan saiznya sebesar iPhone 4s. Razak mencapai kotak tersebut lantas menyumbatkan kotak tersebut ke dalam poket seluarnya.

Usai memakai baju yang tercetak perkataan 'The Strokes', Razak keluar dari bilik tidurnya dan terus menuju ke dapur. Dia dahaga. Dicapainya cawan kaca yang terletak di rak pinggan. Dipulasnya kepala paip dan air paip pun mengalir keluar. Ditadahnya dan diminumnya.

"Kau nak ke mana Razak?" tanya Mak Mah yang sedang memotong sayur di meja makan saat terlihat Razak seperti sedang tergesa-gesa mahu keluar. "Keluar sekejap, jumpa kawan." balas Razak sambil meletakkan kembali cawan yang digunakannya tadi di rak pinggan dan terus berlalu keluar rumah.

Mak Mah yang melihat Razak seperti tidak mengendahkan pertanyaannya hanya mampu menggelengkan kepala. Dia tidak tahu  nasihat apa lagi yang mahu dicurahkan ke gegendang telinga Razak supaya dia berubah. Kerja malas, belajar separuh jalan. Apa yang Razak tahu hanyalah makan, tidur dan lepak.

*****

Hussein rasa sudah hampir setengah jam masa berlalu sejak dia duduk di situ menunggu Razak tetapi Razak masih tidak muncul. Dia berasa sedikit gelisah kerana dia memerlukan 'barang' yang akan dibawa oleh Razak. Dihirupnya air teh tariknya sedikit demi sedikit. Peluh dingin mulai muncul di dahinya. Dia menyeka peluhnya supaya tidak jatuh menitik menggunakan hujung lengan baju.

Warung Pak Tam sudah mulai lengang berbanding dengan waktu dia mula-mula sampai tadi. Dijelingnya jam yang dipakai di tangan kirinya. Jarum panjang tepat di angka dua belas dan jarum pendek tepat di angka sembilan. Dia harus cepat kerana dia ada temu janji dengan pelanggannya pada pukul sebelas pagi.

"Takkan dia tipu aku, semalam bukan main lagi berjanji. Kalau aku tahu dia tipu aku, mati dia aku kerjakan." gumam Hussein sendirian. Sebaik sahaja dia menghabiskan ayatnya, dia terasa bahunya seperti ditepuk oleh seseorang daripada belakang. Tersentak sikit dia lantas menoleh ke belakang.

"Siapa mati?" Razak yang sedang berdiri di belakangnya bertanya tentang gumamannya tadi. Bersahaja. Mahu sahaja Hussein bangun dan menumbuk muka Razak yang dikenalinya sejak daripada zaman persekolahan lagi kerana membuatkan dia terkejut.

"Apahal lambat sangat? Semalam janji pukul lapan setengah pagi." Razak tidak terus menjawab pertanyaan Hussein sebaliknya dia terus mengambil tempat di hadapan Hussein. Ditariknya kerusi plastik yang berada di bawah meja dan terus duduk. Dilepaskan satu keluhan panjang.

"Maaflah, aku terlupa tadi tapi kau jangan risau. Aku ada 'barang' yang kau nak." jawab Razak sambil dia mengangkat tangan memanggil Pak Tam untuk memesan minuman. "Kau pasti apa yang kau ada itu 'barang' yang aku nak?" tanya Hussein kembali sambil menjegilkan matanya tanda tegas.

"Percayalah aku sebab aku sendiri yang petik." Razak menjawab setelah dia selesai memesan minuman dengan Pak Tam. Dikeluarkan kotak yang disumbatkan di dalam poket seluarnya ketika mahu keluar rumah tadi dan diletakkan di atas meja betul-betul di hadapan Hussein.

Hussein memandang kotak itu dengan penuh curiga. Sifat ingin tahu yang terbuku di dalam benaknya semakin menggelegak. Dikuis-kuis dengan jari kotak tersebut sehingga terburai ikatan kain yang membalutnya sekaligus menampakkan kotak tersebut tanpa sebarang halangan lagi.
Kotak tersebut berwarna hitam pekat dan diperbuat daripada besi. Di bahagian tepi kotak tersebut mempunyai dua garisan berwarna putih yang mengelilingi kotak tersebut. Hussein mengangkat kotak itu, lagaknya seperti sedang menimbang berat kotak itu menggunakan tangannya.

"Tak berat pun, macam tak ada isi." getus Hussein yang meletakkan kembali kotak itu di atas meja. Razak tersengih. Dibiarkan sahaja getusan Hussein ditelan bunyi enjin motorsikal milik pelanggan yang baru tiba di Warung Pak Tam. Dia mengangkat kotak itu separas matanya.

"Kau ingat 'barang' yang kau nak seberat tong gas ke?" tegas Razak sambil menggoncangkan kotak itu. Hussein sedikit risau 'barang' yang ada di dalamnya akan terjejas.

"Tak payahlah goncang sampai macam itu sekali, nanti rosak pula," balas Hussein lalu mengambil kotak tersebut daripada tangan Razak dan kembali meletakkannya di atas meja. "Bukan senang nak dapat, nanti rosak susah," sambungnya lagi. Dia kembali menghirup sisa-sisa air teh tariknya.

"Berapa aku kena bayar kau?" tanya Hussein sambil mengeluarkan dompetnya. "Macam biasalah, janganlah buat-buat tak tahu." jawab Razak cepat. Hussein mengeluarkan beberapa keping wang kertas berwarna hijau. Razak cuma tersenyum memandang gelagat Hussein.

"Kau kira dulu, kalau tak cukup beritahu aku." jelas Hussein sambil menyerahkan kepingan wang kertas tersebut kepada Razak. "Tak payah kiralah, aku percaya kau hari ini." jawab Razak sambil menyambut kepingan wang kertas yang diserahkan Hussein.

Hussein menjeling jam tangannya sambil menghabiskan sisa-sisa air teh tariknya. Sudah pukul sepuluh tiga puluh minit pagi. Dia harus segera beransur ke bandar kerana mahu berjumpa pelanggannya. "Aku dah lambatlah, nanti kalau apa-apa aku cari kau balik. Kalau aku tak 'high', siaplah kau."

Razak cuma melihat Hussein berlalu keluar dari kedai meninggalkannya berseorangan. Puas sekali dia hari ini, dia boleh kembali berjudi dengan wang yang diterimanya. Itu cerita malam nanti, sekarang dia mahu pulang ke rumah untuk makan kerana perutnya sudah mula berkeroncong.

*****

"Mana jeruk yang aku suruh Razak beli semalam?" gumam Mak Mah sendirian sambil menyelongkar bilik Razak. Diselaknya selimut yang bertebaran di atas katil, ditepuk bantal-bantal tetapi masih tiada tanda-tanda jeruk yang dipesannya semalam.

Saat dia sedang sibuk mencari di atas katil, Mak Mah terlihat satu bungkusan plastik yang terletak di atas meja solek. Dicapainya bungkusan plastik tersebut dan dibukanya. Di dalamnya terdapat sehelai daun yang berwarna-warni seperti pelangi.

Itu bukanlah jeruk yang dia pesan semalam dan tidak pernah pula dia melihat jeruk sebegini rupa. Mak Mah berkira-kira, walaupun ini bukan jeruk yang dia mahu tapi 'jeruk' ini nampak sedap. "Apa salah mencuba benda baru." gumam Mak Mah sendirian sambil menggigit sedikit 'jeruk' tersebut.

"Emak, saya laparlah. Emak sudah siap masak?" Razak yang baru tiba di muka pintu rumah memanggil ibunya. Tiada sahutan. Mungkin ibunya sedang sibuk memasak di dapur. Tiada juga kelibat Mak Mah di dapur. Mungkin sekali ibunya sedang mandi di dalam bilik air.

Razak tidak peduli, dia perlu ganti tidurnya yang hilang semalam kerana terlalu sibuk berjudi di hujung kampung. Perut yang lapar boleh tunggu. Saat dia masuk ke dalam bilik tidurnya, dia terkejut kerana emaknya sedang terloncat-loncat seperti cacing kepanasan. "Emak buat apa?" tanya Razak yang masih terpaku melihat telatah emaknya.

Mak Mah tidak menjawab pertanyaaan Razak dan terus meloncat seperti orang hilang akal, meloncat seperti anak muda di kelab-kelab malam. Matanya tertutup, tangannya turun naik kiri dan kanan. Tenaganya seperti remaja belasan tahun yang masih belum mengenal dunia.

Saat Razak masih terpaku, telefon bimbitnya berdering. Diseluknya telefon bimbitnya yang diletakkan di poket seluar sebelah kiri. Tertera nama Hussein di skrin telefon bimbitnya. Ditekan butang yang bersimbol ganggang telefon berwarna hijau.

"Kenapa kau bagi aku jeruk? Aku nak daun pelangi, bukan jeruk!" Suara Hussein memekakkan gegendang telinganya sebelum sempat dia menyapa. Jeruk? Razak berfikir sejenak. Mungkin itu jeruk yang emak dia pesan semalam dan kalau begitu, di mana daun pelangi yang sebenar?

Mata Razak meliar seperti mencari sesuatu dan sesuatu yang dicarinya ada pada tangan Mak Mah, separuh digigit. Otaknya seperti sedang cuba menghadam sesuatu. "Kau dengar tak apa yang aku cakap?" Suara Hussein kembali memekakkan gegendang telinganya. Razak menyedari sesuatu.

"Alamak, aku tersilap bungkus!" balas Razak menepuk dahi.

No comments: