Friday 19 September 2014

Sang Sakti & Si Merah _ part 1

Ada seorang gadis kelainan upaya bernama Sakti yang berusia 23 tahun. Sakti adalah anak yatim piatu. Sakti mempunyai masalah pembelajaran dan mempunyai daya IQ yang lemah atau paling tepat dipanggil lembab. Walaupun dia seorang yang lembab dan yatim piatu tetapi dia pandai menjaga dirinya. Rumah Sakti terletak selang beberapa lot daripada rumah seorang gadis bernama Merah. Sakti berkawan baik dengan Merah. Merah sangat suka berkawan dengan Sakti. Merah berasa senang berkawan dengan Sakti kerana Sakti adalah budak yang riang, jujur dan suka melakukan kebaikan berbanding kawan-kawan Merah yang lain. Kawan-kawan Merah sentiasa mengejek Sakti yang gila dan tidak mempunyai ibu dan ayah. Walau bagaimanapun, Sakti tidak pernah berdendam dengan mereka.

Merah pernah mendengar perbualan orang yang mengatakan Sakti adalah punca kematian kedua ibu bapanya tiga tahun yang lepas. Merah tidak percaya kerana Sakti adalah seorang yang baik dan tidak pernah berbuat jahat kepada sesiapa. Sakti hanya akan keluar untuk bekerja di sebuah kilang di kota dan balik ke rumah hanya untuk berehat dan apabila pagi berlakulah aktiviti yang sama sehinggalah hari Ahad. Maka setiap Ahad, Sakti dan Merah akan menghabiskan masa mereka untuk bercerita dari realiti hinggalah ke bintang.

Petang itu, Sakti dan Merah memanjat bukit berhampiran kawasan taman mereka. Bukit itu adalah tempat untuk mereka sentiasa berfantasi. Tempat mereka untuk mencari ketenangan daripada semua masalah. Kadang-kadang mereka akan membawa bekal untuk berkelah ataupun melukis. Aktiviti mereka sentiasa dipenuhi dengan cakap kosong kerana tempoh waktu mereka untuk berjumpa adalah sangat terhad. Ibu Merah,  seorang yang sentiasa terbuka. Dia sendiri tidak percaya Sakti yang membunuh kedua ibu bapanya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Sakti yang OKU, ibu Merah membenarkan Merah untuk berkawan dengan Sakti. Namun bersyarat.  Ibu Merah mengizinkan mereka berjumpa tetapi hanya untuk 4 jam setiap Ahad. Hanya 4 jam setiap Ahad, tiada hari lain kerana Merah perlu membantu ibunya membuat kuih.

Selalunya Merah akan bercakap sehingga berkulat telinga Sakti mendengar kerana Merah hanyalah seorang anak gadis yang hanya duduk dirumah selepas SPM. Merah akan sentiasa menceritakan angan-angan dia untuk mengembara, menjadi kaya-raya, mempunyai rumah besar dan macam-macam lagi. Sakti seorang yang setia mendengar akan sentiasa melukis tanpa henti. Ya, Sakti juga merupakan seorang yang berdarah seni untuk melukis. Segala lukisan yang tidak pernah terbayang pun, Sakti boleh melukis dengan imaginasinya. Merah yang melihat Sakti ralit melukis lalu terus menukar topik perbualan.

“Kenapa kau tidak pernah berdendam dengan mereka, Sakti?” tanya Merah.
“Aku tidak mahu berdendam. Aku sentiasa ingat pesan Mak aku”, jawab Sakti sambil melukis gambar seorang perempuan bergaun labuh menggunakan pen hitam kegemarannya.
“Apa yang Mak kau pesan pada kau?”.
Merah menyedut air kotak dan memerhatikan lukisan Sakti.
“Mak aku  pesan, dendam  itu membawa kepada benci. Benci itu akan membawa kepada mati dan mati itu akan membawa kepada kehilangan”.
Merah hanya berfikir dan memerhati Sakti menyiapkan lukisannya.
“Cantik lukisan kau, Sakti. Mak dan ayah kau mesti orang yang baik”.
Sakti mendengus dan tersenyum sinis, “Ah, pandai kau mengambil hati aku.”
“Sudahlah, jom  kita balik? Aku perlu membantu  ibu aku untuk membuat kuih jualan esok. Habis aku dikerjakan nanti kalau aku balik lambat”.
Merah membantu Sakti mengemas barang dan menggulung tikar mengkuang yang dibawanya. Lalu mereka berjalan pulang sambil bergurau senda ke rumah masing-masing.

Empat jam yang sangat bermakna untuk dua rakan yang baru berkenalan selama dua bulan. Pada waktu itu, Sakti membantu ibu Merah di bazar Ramadhan. Sakti baru diberhentikan ditempat kerjanya yang lama. Sakti dituduh membakar seorang pekerja di kilang. Tuduhan itu dibuat oleh rakan sekerjanya yang melihat si mati sering membuli Sakti. Setelah di soal siasat, tiada hukuman yang  dijatuhkan. Tiada bukti kukuh untuk menyabit Sakti sebagai pesalah melainkan sebuah lukisan seorang lelaki yang dibakar oleh api. Oleh kerana itu, OKU seperti Sakti tidak lagi dibenarkan bekerja di situ.

Ahad kembali. Merah yang telah lama menunggu hari tersebut, meminta izin ibunya untuk keluar berjumpa Sakti awal pagi lagi. Merah sedang berdebar-debar dan gembira untuk berkongsi cerita dengan Sakti. Kali ini, Merah terus kerumah Sakti kerana dia tahu Sakti pasti tidak menjangka Merah hendak berjumpa bukan pada kebiasaanya.

“Sakti! Sakti! Merah ni! Tolong buka pintu!! Sakktiii! Huuuiiiii!!!”.
Mungkin bergema seluruh taman dek suara Merah yang memanggil Sakti di dalam rumah. Merah menunggu. Hanya salakan anjing dari rumah jiran Sakti. Bunyi pintu rumah dikuak. Merah menoleh.

“Sakti! Sakti! Lambatnya kau keluar. Buka cepat gate ni! Aku ada sesuatu hendak cerita ni”.
Sakti tercegat. Pelik. Sakti memakai selipar sambil mengikat rambutnya yang panjang bahu.
“Awal kau Merah? Ada apa ini?”. Sakti membuka mangga gate.
“Bagi aku masuk dulu”. Merah melulu masuk tanpa dijemput. Dia terus duduk di kerusi. Merah tidak memandang kiri kanan kerana cerita yang dia ingin sampaikan lebih gempak.
Sakti menutup pintu dan membuka kipas. Dia duduk disebelah Merah.

“Sakti, Sakti, Sakti! Aku rasa apa yang aku hendak cerita ini kau mesti tak percaya. Ahad lepas kita jumpa kan?”. Sakti mengangguk.
“Hari Rabu aku bangun tidur, buka mata aku ni, aku nampak sehelai gaun labuh tergantung dekat pintu almari aku.”, reaksi Merah dengan membulat mata membuatkan Sakti ketawa.
“Kenapa kau ketawa?”
“Teruska", Sakti terbatuk kecil sambil tersenyum.
“Aku terus bangun, lari turun bawah tanya Mak aku. Yelah, mana tahu dia bagi. Dia tonjol kepala aku. Dia kata tiada kerja dia nak bagi aku gaun. Aku pun terus pelik. Aku tengok baju tu, cantik gila kau tahu?”
“Habis tu, kau buat apa dengan baju tu?”. Sakti terhibur melihat gelagat Merah yang gelabah ayam tadi.

Merah menerkup muka, sambil menghela nafas panjang. Dia pejamkan mata. Kepala diletakkan di sofa. Selepas dia buka, dia memerhati sekeliling dinding rumah Sakti. Satu persatu dia melihat lukisan yang ditampal oleh Sakti di dinding. Lukisan Sakti yang pelbagai sangat cantik. Pelbagai situasi, pelbagai ilham dan pelbagai warna itu memang selayaknya digantung di sebuah galeri.

“Itu yang aku buntu. Tapi.....”. Merah tersentak. Dia terdiam. Matanya yang liar melihat lukisan tadi terberhenti apabila memandang sebuah lukisan yang sangat dikenali oleh Merah.

"Sakti, lukisan kau sama macam baju aku". Merah menunding jari ke arah lukisan tersebut.

***

Bersambung atau kau boleh terus berimaginasi.




No comments: