Monday 8 September 2014

Simen Ferro



“Woi, Leman! Mai la lepak tang ni. Hang dok kalut nak pi mana?” Leman yang terkonyong-konyong mengayuh basikal membrek secara mendadak. Dia menoleh dan melihat Botak dan Bidin yang sedang lepak minum di kedai kopi Pak Daq. Bidin yang telah mengeluinya tadi. Selepas menyandar basikalnya, Leman masuk dan turut serta di meja kopi mereka. Dari pemerhatian kasar, nampaknya Bidin dan Botak ni sudah berjam-jam lepak di warung Pak Daq. Mana taknya, cawan teh tarik sahaja dah ada tiga yang sudah habis diminum. Rokok pulak dah dua kotak habis. Memang hardcore lepak dua orang kutu kampong ni.

“Aku dok perati hang dari tadi. Hang kalut-kalut nak pi mana, Leman?” Bidin mengajukan soalan. “Haa tula. Dari kemarin hang dok pi mai pi mai. Harini ni baru kami nak teguq hang. Kalut lebih daripada YB lagi hang ni.” Tambah Botak sambil ketawa mengekek. “Dak, bukan apa. Mak aku suruh aku pi jumpak Pak Ngah  Chot. Tanya dia pasai nak tempah simen ferro.” “Ooo. Pak Ngah Chot tu memang tera* buat simen fero. Tu hang tak tengok kat sekolah rendah tu. Bangku, hiasan-hiasan apa semua dia yang buat tu. Guru Besaq tu kagum betoi ngan dia baq hang.” Bidin memuji Pak Ngah Chot melambung-melambung. “Dia bukan penah pi kolej ka IKM ka apa. Dia belajaq buat sendiri baq hang. Seingat aku dulu, pak aku habaq dia dulu mana reti bertukang apa sikit pun.” Botak juga berkongsi sedikit cerita yang dia tahu pasal Pak Ngah Chot. “Haa tu la pasai mak aku suruh pi tanya dia. Mak aku nak upah dia buat dua tiga bangku dengan meja kat sekolah mak aku mengajaq tu.” “Ooooh”, Bidin dan Botak jawab secara sychronizednya. “Tapi, aku tak berani nak pi rumah dia. Aku ketaq lutut.” Leman sambung cerita. “Depa kata dia tu dok sorang-sorang. Tak bercakap dengan orang. Dia penah naik gila, mengamuk nak tetak orang kampong ni dulu. Takkan hampa tak ingat.” “Laaa, patutlah aku tengok hang dok ketaq semacam. Hang takut kat Pak Ngah Chot. HAHAHAHA!” Bidin mengusik Leman sambil ketawa. Botak turut ketawa. “Tu cerita dulu la, Man. Dia dah berubah dah. Dia memang tak bedunia* dengan orang. Tapi, dia tak kacau orang aih. Hang toksah takut. Hang pi habaq apa mak hang suruh, esok dia pi buat teruih.” Bidin cuba meyakinkan Leman yang Pak Ngah Chot bukan untuk digeruni. “La ni lagu ni. Apa kata kami dua teman hang pi sembang dengan Pak Ngah Chot,” Botak beri idea. Leman setuju. Bidin juga takdahal.

Selepas membayar untuk 4 gelas teh tarik, dua keping roti canai, tiga keping roti telur dan tiga kotak Winston merah, mereka bergerak ke rumah Pak Ngah Chot. Pasangan kutu tegar tadi menaiki motosikal Honda EX5 dan Leman dengan basikal tinggalan arwah datuknya. Rumah Pak Ngah Chot terletak di hujung kampong. Jiran terdekat dengannya pun adalah lebih kurang 100 meter. Rumahnya ialah rumah kampong lama yang ada anak tangga kecil di pintu utama. Berguni-guni simen tersusun di bawah rumah. Ada dua timbunan pasir dilitup dengan kain kanvas biru di bawah pokok mangga. “Assalamalaikummmm!! Assalamualaikumm Pak Ngah!” Bidin memberi salam. Botak dan Leman hanya memerhatikan daun pintu. Daun pintu dikuak perlahan-lahan menampakkan latar belakang ruang tamu rumah yang sedikit gelap. Pak Ngah Chot keluar setelah menjawab salam di dalam hati mungkin, kerana tidak kedengaran suaranya. “Ada...apa...hampa..mai rumah aku ni?” soal Pak Ngah persis Nasir Bilal Khan dalam Tanah Kubur. “Dak ni. Leman ni nak tanya Pak Ngah. Mak dia nak upah Pak Ngah buat simen ferro kat sekolah menengah nu. Pak Ngah bulih buat dak?” Bidin yang tolong tanyakan bagi pihak Leman. Orang tua itu diam sejenak. Mungkin menyemak schedulenya. “Bila?” pendek sahaja soalannya. “Haa bila, Leman?”Leman terpinga-pinga sejenak. “Oh ni aaa minggu depan. Hari senanyan*.” Leman jerit beritahu. Orang tua itu hanya mengangguk tanda setuju. Dia masuk ke dalam sebaik pintu ditutup.

“Cuba hang tengok tu. Perfect sungguh dia buat. Aku kagum betoi dengan dia ni.” Bidin menunjukkan arca simen ferro berbentuk burung bangau, kucing, anjing dan haiwan-haiwan lain yang dijadikan hiasan di laman rumah Pak Ngah Chot. Leman mendekati salah satu arca simen hasil tangan Pak Ngah Chot. Dia perhati betul-betul arca yang menyerupai kucing itu. Sungguh teliti dan cermat hasil buatannya. Memang nampak real. Kalau setakat bangku atau meja itu tak payah cakaplah. Memang sangat cantik dan sempurna. Tiba- tiba, Botak memanggil mereka hanya dengan isyarat tangan. Takut jika menjerit, nanti didengari oleh Pak Ngah pula. Tak pasal-pasal kena halau nanti. Mereka berjengket senyap-senyap ke belakang rumah orang tua itu. Alangkah terperanjatnya mereka sehingga hampir terjerit apabila terlihat akan satu arca menyerupai orang yang masih belum siap pembikinannya terletak betul-betul di tepi jamban. “Tudiaa. Hebat Pak Ngah ni. Dia dah buat patung orang pulak. Dah macam karya orang putih.” Botak memberi komen separa berbisik. Pergh. Real gila baq hang. Esok-esok dia buat patung pompuan telanjang pulak apa.” “Woih, hang ni Bidin. Pada-pada la. Takkan orang tua tu gatai merenyam sangat” Leman menegur Bidin.

“Shush, shush. Woi! Mai tang ni. Ada banyak lagi.” Botak memanggil kedua-dua rakannya tadi. Rupa-rupanya ada beberapa lagi arca yang serupa tadi. Ada yang menyerupai kanak-kanak lelaki, budak perempuan dan perempuan dewasa. Semuanya sudah pun siap terbaring dan telah dilitup dengan kain putih sebelum diselak oleh Botak. “Aku heran lah dengan dia ni. Awat dia bok sorok dia punya mastapis* ni? Awat tak tunjuk ja. Power kot ni. Kalau dia buat pameran ni, mau beribu orang beli.” Bidin menyuarakan kemusykilannya. “Hang ni bodohlah, Din. Benda-benda lagu ni mana boleh dok tayang suka-suka. Satni pak imam mai katok* semua ni, habihlah dia. Kan dah serupa berhala dia buat patung oghang-oghang lagu* ni.” Leman, yang kelihatan lebih mahir agama cuba memberi penjelasan kepada Bidin dan Botak. Tidak semena-mena sepasang mata Botak terbeliak. Tangannya seperti telah tersentuh sesuatu yang sejuk. Dia menoleh dan terlihat jari kaki manusia terjulur keluar daripada simen fero yang menyerupai wanita dewasa itu. Simen di bahagian kaki telah retak sedikit dan menampakkan empat batang jari kaki. Botak hampir menjerit tetapi pantas mulutnya ditutup oleh Bidin. Leman juga nyaris-nyaris pengsan. “Woi, woi, woi...ni...ni..ni mayat ni woi.” Botak terketar-ketar memberitahu apa yang semua orang boleh nampak. “Jom, kita tengok hat* lain,” saran Bidin. “Hang gila ka apa, Din. Aku tak maulah. Satgi orang tua bok* keluaq kapak, cantaih* kepala kita, nayaa jaa.” Botak membangkang. Sengap*lah! Dah ikut aku. Kita tengok satu-satu”. Leman dan Botak ditarik supaya mereka tidak boleh lari kemana-mana.

Mereka menyiasat satu persatu daripada kesemua arca manusia itu. Simen diketuk perlahan-lahan dengan menggunakan batu. Apabila ia pecah, kelihatan anggota tubuh manusia di sebalik arca hasil tangan Pak Ngah Chot itu. Patung bangau juga diketuk sehingga pecah. Di sebalik serpihan simen, mereka boleh lihat bangkai bangau yang telah diawet masih mempunyai rupa seperti burung itu dengan jelas. Pak Ngah Chot ini seorang psikopat, fikir ketiga-tiga mereka. Mereka mesti segera cabut dari situ sebelum orang tua itu perasan. Hal ini mesti segera dilaporkan kepada polis. Berjengket-jengket mereka menuju ke hadapan rumah untuk mendapatkan motosikal dan basikal masing-masing. Alangkah terperanjatnya mereka apabila motosikal dan basikal yang mereka naiki telah hilang. “Mana pi mutu* kita, Din? Hang jangan nak berseloro* time-time lagu ni.” Botak sudah pun terkencing di dalam seluar ketakutan. “Mana aku nak tau. Tadi ada tang* tu. Beskat* hang pun takdak dah, Leman.” Bidin memberitahu Leman yang juga sudah terkucil di dalam seluar. “Kita pecut ja balik rumah jom sebelum orang tua tu perasan”, Leman mencadangkan satu alternatif. Apalagi, ketiga-tiga pemuda itu buka langkah seribu. Belumpun sampai 5 meter, ketiga-tiga mereka terjelepuk ke tanah. Tanpa disedari, mereka telah merempuh tali tangsi yang diikat dari pokok ke pokok menyebabkan ketiga-tiga mereka terlentang ke belakang. Leman dan Botak terus pengsan. Bidin masih sedar. Perlahan-lahan Bidin cuba bangun sambil mengusap dadanya yang luka akibat merempuh tali yang tidak kelihatan tadi. Belumpun sempat dia bangun, kepalanya diketuk dengan sebatang objek tumpul. Kepalanya menghentak tanah dan semuanya hitam, gelap.

Kabur. Kelip-kelip. Celik. Ketiga-tiga mereka buka mata perlahan-lahan dengan serentak. Setelah sedar, baru mereka perasan yang kedua-dua tangan dan kaki mereka telah diikat. Ketiga-tiga pemuda itu digantungkan di alang rumah. Terapung. Tiada suara dapat keluar dari tekak kerana mulut mereka telah diikat dengan kain. Pak Ngah Chot kelihatan sibuk membancuh sesuatu tanpa berkata apa-apa. Sesekali dia ke unggun api untuk mengawal api yang sedikit marak mendidihkan periuk besar berisi entah apa bahan pun tidak mereka ketahui. “Hangpa ni pandai-pandai jahanamkan aku punya reja. Ni lah balasan dia. Hangpa kena ganti balik.” Bidin meronta-ronta cuba melepaskan diri. Begitu juga Leman dan Botak. Namun usaha mereka tidak berhasil.


Glosari
1.       tera                                - terrer
2.       bedunia                       - bersosial
3.       Senanyan                    - Isnin
4.       mastapis                      - masterpiece
5.       katok                             - pukul, hancurkan
6.       lagu                                - macam
7.       hat                                 - yang
8.       bok                                - bawak
9.       sengap                         - senyap
10.   cantaih                         - cantas
11.   berseloro                    - berseloroh
12.   tang                               - di
13.   beskat                          - basikal


1 comment:

NOOB said...

macam house of wax . nice story