Tuesday 18 November 2014

Bukan Suriram Yang Manis

Semalam berantakan barang Suri. Berserakan di setiap bucu bilik. Masalahnya cuma mama tidak memberi izin dia mahu pergi bercuti sama teman-teman sekuliahnya seramai 25 orang termasuk Suri. Umur sudah cecah 21 tahun tetapi masih dilaku seperti anak-anak kecil. Mahu pergi ke mana sahaja dihantar sama Pak Halim, pemandu peribadi Dato' Kamal. Tiada kebebasan. Bosan dan hambar. Hidupnya jadi murung seperti seekor burung dikurung dalam sangkar emas.

"Kenapa?" tanya Anggun.

"Kenapa apa?"

"Kau pergi tak vacation kita hujung minggu ni?"

“Mama. Mama tak kasi aku pergi la.” Suri mencebik tanda kecewa.

“Kalau kau tak pergi, aku pun tak pergilah. Bosanlah aku kalau kau tak ada nanti.”

Anggun mengaut seraya menepuk-nepuk bahu Suri supaya mampu menenangkan sahabatnya itu. Suri langsung mengerutkan dahi memandang Anggun tetapi Anggun cuma menggelengkan kepala tanda tidak mengapa. Walhal, yang sebenarnya Anggun yang bersungguh-sungguh mencadangkan kepada teman-teman yang lain supaya mereka pergi bercuti bagi meraikan azab peperiksaan akhir bagi semester ini.

Bagaimana mahu meyakinkan mama dan papa bahawa dia mampu berdikari walaupun tanpa mereka? Apa perlu dia temukan Anggun dengan mama supaya mama lebih percaya bahawa aku punya teman yang boleh dipercayai sepanjang hayat? Anggun adalah sahabat yang boleh dipercayai, yang menyelamatkan keadaan dalam segala hal, yang telus dalam memberi pendapat dan golongan ini masih wujud dalam dunia loka yang penuh neraka ini. Tapi, dia tetap  Anggun yang sentiasa di sisi yang masih berdiri demi Suri.

Tetapi, Anggun sentiasa menolak apabila Suri mempelawanya bertemu mama juga papa. Katanya, malu kerana dia orang kebanyakan nak dibandingkan sama Suri. Suri tidak pernah peduli tentang stratifikasi sosialnya. Orang berada, papa tentang manusia. Riak melangit. Orang papa, berada tentang manusia. Tunduk ke bumi sedar diri. Lebih menghargai hidup.

Suri berjalan beriringan dengan Anggun menuju ke perpustakaan kolejnya kerana mahu mencari beberapa buku ilmiah untuk membuat tugasan yang baru saja diberikan oleh Puan Aimi sebentar tadi. Sedang dia berjalan perlahan memilih buku berkenaan tugasannya, dia mendapati bahawa ada seseorang sedang mengekori dan memerhatikannya. Oleh sebab itu, ia menjadikan Suri kurang selesa dan tidak selamat berada di situ.

Suri berlalu ke meja di mana dia meletakkan peralatan tulisnya serta beberapa helai kertas dan juga Anggun. Anggun memandang Suri kehairanan melihatkan keadaan Suri yang gelisah. Pelajar yang berada di meja berhampiran turut memandang Suri. Suri terus mengaut semua perkakasnya dan menarik tangan Anggun dengan tidak semena-mena. Mereka mengambil beg di rak simpanan beg dan terus menuju ke kafe. Mereka memilih tempat duduk di bangku paling hujung berikutan keadaan di situ agak menenangkan berbanding di bahagian tengah cafe yang sarat dengan manusia lapar. Ada yang macam raksasa rakus melahap makanan. Ada yang berebutkan lauk kegemaran yang hampir licin. Entahkan sempat bismillah atau tidak. Elok ditalkin gayanya.

"Aku... Aku... Aaa..." Suri memulakan kata-kata dan terhenti begitu sahaja.

"Kau kenapa ni? Kau nampak pocong yang dorang selalu borakkan dalam kelas tu ke? Ermm. Tapi pocong tu dorang kata ada kat asrama je lah. Jauh kot kalau dia lompat sampai ke library tu. Penat. Penat." Anggun gelojoh membuat telahan.

"Tak. Tak. Aku nampak dia... yang aku pernah cerita kat kau dulu tu. Kau ingat tak?" langsung Suri termenung

"Cerita dulu yang mana satu? Yang kau kena dumb dengan malaon nama Hussein tu ke? Kau nampak Hussein ke? Mustahil la gila!"

"Hussein. Ya. Hussein." Suri mengetap bibir sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Rakan-rakan sekelas Suri yang lalu lalang di sekitar kafe ramah menegur Suri tanpa mempedulikan keadaan dan jiwanya ketika itu.

"Suri, sorang je ke tu?  Tak balik lagi ke? Dah nak senja ni." tegur Dahlia.

"Belum." balas Suri sepatah dengan senyuman nipis.

Anggun datang membawa dua cawan air Teh O Ais. Dia pergi membeli air setelah melihatkan keadaan Suri yang sebal itu supaya dapat menenang dan memujuk hatinya.

"Lepas minum ni, kita balik ye? Dah petang sangat ni kau tak balik-balik lagi. Nanti mama kau bising pulak cakap aku ajar kau balik lewat." pujuk Anggun.

"Ye la. Aku dah telefon Pak Halim dah masa kau pergi beli air tadi. Tapi… Hussein yang aku nampak tadi tu?" soal Suri tak puas hati.

"Ah, tak mungkinlah Suri. Bukan ke kita dah bu…" balas Anggun ringkas.

“Ya, memang kita dah bunuh dia. Tapi masalahnya kenapa aku nampak dia masa dalam library tadi?” bisik Suri kepada Anggun sambil kedua-dua tangannya mengepung mulutnya agar tidak didengari oleh siapa-siapa. Suri dan Anggun buntu. Mereka saling memandang resah antara satu. Tiba-tiba bahu Suri disapa dari belakang seraya mereka menjerit ketakutan bimbang bisikan itu terpecah.

“Suri, jom balik. Pak Halim parking kereta kat bawah pokok besar sana tu.” lembut suara Pak Halim mempelawa Suri pulang.

“Anggun, aku gerak dulu tau. Apa-apa nanti aku call kau malam ni eah?” sambil melambai-lambai Anggun.


Pak Halim mula mengerutkan dahinya; hairan. Anggun? Siapa Anggun? Walhal tadi semasa dia menjemput Suri di kafe, Suri hanya berseorangan dengan dua cawan Teh O Ais yang diletakkan bersebelahan di mana yang satu lagi itu langsung tidak terusik.


No comments: